Monday 2 February 2015

PERLEMBAGAAN PENGAWAS HSBM

 SUSUNAN PERKARA

Bahagian 1: Perlantikan Pengawas
Fasal 1: Penerimaan Pengawas Baru
Fasal 2: Latihan Kepimpinan Pengawas
Fasal 3: Bidang Kuasa Pengawas
Fasal 4: Pakaian Pengawas

Bahagian 2: Ahli Jawatankuasa Lembaga Pengawas
Fasal 1: Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT)
Fasal 2: Ketua Biro
Fasal 3: Bidang Kuasa Ketua Biro

Bahagian 3: Pakaian dan Penampilan
Fasal 1: Etika Pemakaian Pengawas
Fasal 2: Pakaian Seragam Pengawas
Fasal 3: Peraturan Memakai Blazer
Fasal 4: Peraturan Aset Pengawas
Fasal 5: Kekemasan Pengawas

Bahagian 4: Tugasan Pengawas
Fasal 1: Tugasan Khusus
Fasal 2: Tugasan Sampingan
Fasal 3: Tindakan Disiplin

Bahagian 5: Tatatertib dan Kelakuan Pengawas
Fasal 1: Tatatertib Pengawas
Fasal 2: Kualiti Seorang Pengawas
Fasal 3: Tanggungjawab Pengawas

Bahagian 6: Tindakan Tatatertib Terhadap Pengawas
Fasal 1: Jenis Kesalahan
Fasal 2: Perbicaraan
Fasal 3: Hukuman

Bahagian 7: Persaraan Pengawas
Fasal 1: Tamat Tempoh Tugas
Fasal 2: Perletakan Jawatan
Fasal 3: Arahan Pentadbir Sekolah


********************************************************************************
BAHAGIAN 1: PERLANTIKAN PENGAWAS

Fasal 1: Penerimaan Pengawas Baharu
1.1     Dilantik dalam kalangan pelajar tingkatan 1, 2, 3, 4, dan 6 bawah sahaja.
1.2     Pelajar setiap tingkatan, termasuk tingkatan 1 dan 5 boleh dilantik menjadi pengawas sekiranya bilangan pengawas tidak mencukupi (mengikut kuota yang telah ditetapkan) dan pelajar berkenaan layak.
1.3     Pelajar yang berminat perlulah mengisi borang permohonan pengawas dan wajib melalui sesi ujian bertulis dan sesi temuduga.
1.4     Temuduga pengawas akan dikendalikan oleh guru-guru pengawas/ disiplin untuk memilih calon pengawas percubaan yang benar-benar layak.
1.5     Guru pengawas berkuasa mengubah kriteria perlantikan pengawas berdasarkan keperluan sekolah.


Fasal 2: Latihan Kepimpinan Pengawas
2.1     Setiap pengawas yang baru dilantik wajib menyertai dua jenis kursus kepimpinan iaitu bengkel dalaman dan perkhemahan dalaman/ luaran.
2.2     Pengawas baharu yang tidak menyertai kedua-dua kursus ini akan dilucutkan jawatan secara automatik sekiranya tidak mempunyai alasan yang munasabah.
2.3     Setiap pengawas percubaan wajib mengikuti tempoh percubaan sekurang-kurangnya 2 bulan.
2.4     Guru pengawas berkuasa untuk menentukan latihan kepimpinan yang sesuai.
2.5     Selagi mana latihan kepimpinan yang diadakan tidak mengancam keselamatan fizikal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak Islam dan hukum agama-agama lain, semua pengawas wajib menyertai latihan kepimpinan yang diadakan.
2.6     Pengawas yang tidak mengikuti mana-mana latihan kepimpinan yang dijalankan perlu menyertakan surat tunjuk sebab atau dikenakan tindakan tatatertib.

Fasal 3: Bidang Kuasa Pengawas
3.1     Pengawas berhak menegur dan memberi amaran kepada rakan pelajar yang melanggar peraturan sekolah.
3.2     Pengawas sama sekali tidak berhak melaksanakan tindakan disiplin seperti merotan pelajar lain.
3.3     Pengawas dibenarkan mencatatkan kesalahan disiplin pelajar serta-merta untuk diambil tindakan oleh Guru Pengawas/ Disiplin.

********************************************************************************

BAHAGIAN 2: HIRARKI LEMBAGA PENGAWAS SEKOLAH

Fasal 1: Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT)
1.1     Diketuai oleh guru penasihat pengawas diikuti oleh Ketua Pengawas, Timbalan Ketua Pengawas, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari.
1.2     Ketua Pengawas dipilih melalui penilaian guru pengawas dan disiplin yang diadakan setiap tahun.
1.3     Calon-calon ketua pengawas dipantau dan dinilai sepanjang tempoh khidmat.
1.4     Timbalan Ketua Pengawas, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari dilantik melalui perbincangan antara guru Unit Pengawas dan Disiplin.
1.5     Ahli Jawatankuasa Tertinggi merupakan tonggak utama dalam setiap aktiviti pengawas.


Fasal 2: Biro dan Ahli Jawatankuasa
1.1     Bilangan Biro mungkin berubah mengikut keperluan semasa.
1.2     Ketua Biro dilantik melalui perbincangan antara Guru Pengawas dan Guru Disiplin.
1.3     Terdapat 9 Biro (tertakluk kepada perubahan) iaitu:
          1. Biro Disiplin
          2. Biro Spot Check
          3. Biro Sistem Merit Demerit
          4. Biro Perhimpunan
          5. Biro Aktiviti & Dokumentasi
          6. Biro Kebajikan & Pelancongan
          7. Biro Kebersihan & Keceriaan
          8. Biro Majlis Protokol
          9. Biro Siaraya & Teknikal
1.4     Setiap Biro perlu bergerak dan melaksanakan aktiviti mengikut perincian tugas yang telah diamanahkan.
1.5     Merupakan tulang belakang utama dalam setiap aktiviti pengawas.

Fasal 3: Bidang Kuasa Ketua Biro (Lihat Perincian Dalam Bidang Tugas Pengawas)
1.1     Wajib melaksanakan tugasan mengikut jawatan yang dipegangnya.
1.2     Bertindak sebagai mentor kepada AJK di bawah jagaannya.
1.3     Berhak memberi arahan kepada AJK masing-masing.
1.4     Wajib mengikut peraturan sekolah, sama seperti para pengawas dan pelajar yang lain.

********************************************************************************

BAHAGIAN 3: PAKAIAN DAN PENAMPILAN

Fasal 1: Etika Pemakaian Pengawas
1.1     Pakaian hendaklah bersih dan kemas mengikut peraturan sekolah.
1.2     Berpakaian lengkap dengan tanda nama, lencana sekolah, lencana pengawas dan bertali leher pengawas yang diikat rapi.
1.3     Pengawas lelaki perlu memasukkan kemeja ke dalam seluar, bertali pinggang hijau (sekolah) dan lengan baju tidak dilipat.
1.4     Tali leher pengawas tidak boleh dipinjamkan kepada pelajar lain atau kawan untuk dipakai.
1.5     Tali leher dipakai perlulah tidak terlalu labuh dan tidak terlalu pendek. Sebaiknya bersetentang dengan paras pusat.
1.6     Pengawas perempuan tidak dibenarkan melipat lengan tangan.
1.7     Pengecualian pemakaian pengawas untuk aktiviti-aktiviti tertentu, termasuklah kokurikulum hanya dibenarkan atas arahan pihak pentadbir sekolah dan guru pengawas.
1.8     Pengawas perlu mematuhi dan akur dengan peraturan pemakaian pengawas selagi masih berada di kawasan sekolah.


Fasal 2: Pakaian Seragam Pengawas
2.1        Pengawas Lelaki
             2.1.1    Baju kemeja putih lengan panjang
             2.1.2    Bertali leher pengawas
             2.1.3    Seluar panjang berwarna putih
             2.1.4    Ukurlilit kaki seluar tidak melebihi 42cm
             2.1.5    Kasut hitam dan stoking putih
             2.1.6    Segala aset pengawas

2.2        Pengawas Perempuan
             2.2.1    Kemeja putih lengan panjang
             2.2.2    Skirt labuh warna maroon (kain susun belakang)
             2.2.3    Bertudung putih dan melepasi paras bahu
             2.2.4    Anak tudung berwarna putih
             2.2.5    Kasut hitam dan stoking putih
             2.2.6    Segala aset pengawas

Fasal 3: Peraturan Memakai Blazer
3.1     Blazer wajib dipakai ketika majlis rasmi sekolah, perhimpunan rasmi dan sepanjang waktu persekolahan.
3.2     Blazer hendaklah sentiasa dibutangkan dan dipakai lengkap dengan pakaian seragam sekolah dan bertai leher.
3.3     Semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran sedang berjalan, pengawas dibenarkan untuk memakai atau menanggalkan blazer.
3.4     Menghormati blazer dan memastikan kekemasan blazer dijaga.
3.5     Lengan blazer tidak boleh dilipat atau digulung.


Fasal 4: Peraturan Aset Pengawas (Lencana, Pen, Buku Nota dan Jam)
4.1     Setiap pengawas perlu sentiasa memakai tag nama, lencana sekolah dan lencana pengawas.
4.2     Pengawas perlu mempunyai sekurang-kurangnya sebatang pen yang dapat berfungsi, sebuah buku nota bersaiz kecil dan jam (tepat mengikut jam loceng sekolah).
4.3     Pengawas perlu memastikan tiada sebarang tulisan di dalam buku nota pengawas kecuali kesalahan pelajar sahaja.
4.4     Sekiranya buku nota pengawas sudah nipis (kurang daripada 3 helai), sila gantikan dengan buku nota yang baharu secepat mungkin.

Fasal 5: Kekemasan Pengawas
- Mengikut peraturan disiplin sekolah

******************************************************************************


BAHAGIAN 4: TUGASAN PENGAWAS

Fasal 1: Tugasan Khusus
1.1     Tugasan khusus ialah tugasan utama seorang pengawas dalam waktu yang ditetapkan seperti waktu perhimpunan pagi, rehat dan sebagainya.
1.2     Tugasan seperti spot check, menyambut tetamu, mengendalikan perhimpunan dan menjaga laluan masuk pelajar ke sekolah juga merupakan tugasan khusus seorang pengawas.

Fasal 2: Tugasan Sampingan
2.1     Tugasan sampingan seorang pengawas adalah seperti membantu guru-guru.
2.2     Pengawas wajib membantu guru-guru dalam hal-hal berkaitan disiplin.

Fasal 3:Tindakan Disiplin
3.1     Tindakan disiplin pengawas akan diambil sekiranya didapati tidak menjalankan tugas.
3.2     AJK yang bertanggungjawab mengumpul bukti adalah AJK Disiplin dan AJK Kebajikan Pengawas.
3.3     Pengawas yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan selama 3 kali tanpa sebab akan diberi surat amaran pertama. Sekiranya perbuatan tidak bertanggungjawab ini diulangi, Ahli Jawatankuasa Tertinggi berhak mempengaruhi Guru Pengawas untuk melucutkan jawatan pengawas tersebut berdasarkan bukti-bukti yang kukuh.
3.4     Pengawas yang telah dilucutkan jawatan tidak boleh dilantik semula sebagai pengawas.

********************************************************************************

BAHAGIAN 5: TATATERTIB DAN KELAKUAN PENGAWAS

Fasal 1: Tatatertib Pengawas
1.1     Pengawas merupakan wakil guru dan pelajar sekolah ini serta perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap dan bijak.
1.2     Sebagai seorang pengawas, mereka harus membimbing pelajar ke arah yang betul.
1.3     Pengawas harus menjaga imej Lembaga Pengawas dan sekolah dari semasa ke semasa serta tidak menyebarkan fitnah atau khabar angin yang memburukkan nama dan imej sekolah atau menggalakkan orang lain berbuat demikian.
1.4     Pengawas harus mengutamakan tugas dan tanggungjawabnya dalam apa jua keadaan. Sekiranya seorang pengawas tidak dapat menjalankan tugasnya atas sebab-sebab yang munasabah, dia harus mendapat kebenaran daripada Ketua Pengawas, Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain atau Guru Pengawas.
1.5     Pengawas tidak boleh menyalahgunakan kuasanya.
1.6     Seseorang pengawas dilarang berkelakuan tidak senonoh dengan pelajar lain dan menjaga adab pergaulan kerana dia harus sentiasa sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang pengawas sekolah.
1.7     Seseorang pengawas dilarang bersikap berat sebelah.
1.8     Seseorang pengawas dilarang berkelakuan buruk di dalam kelas. Nasihat Ketua Tingkatan serta Penolong Ketua Tingkatan mestilah dipatuhi dan pengawas seharusnya membantu mereka mengawal keadaan kelas.
1.9     Seseorang pengawas haruslah peka sepanjang masa. Walaupun tidak bertugas, pengawas haruslah sentiasa memerhati keadaan disiplin pelajar.
1.10   Pengawas haruslah bersopan-santun dan bertegur sapa dengan guru-guru serta bersikap ringan tulang membantu guru apabila diperlukan.
1.11   Pengawas perlu menyokong segala aktiviti Lembaga Pengawas Sekolah.

Fasal 2: Kualiti Seorang Pengawas
2.1     Akauntabiliti
2.2     Menepati masa
2.3     Tegas dan Berani
2.4     Pantas dan Bijak
2.5     Proaktif
2.6     Adil
2.7     Amanah

********************************************************************************

BAHAGIAN 6: TINDAKAN TATATERTIB TERHADAP PENGAWAS

Fasal 1: Jenis Kesalahan
1.1     Tingkah laku jenayah
1.2     Tingkah laku lucah
1.3     Tingkah laku kekemasan diri
1.4     Tingkah laku tidak mementingkan masa
1.5     Tingkah laku kurang sopan
1.6     Tingkah laku tidak bertanggungjawab
1.7     Tingkah laku musnah
1.8     Tingkah laku tidak jujur
1.9     Ponteng

Fasal 2: Perbicaraan
2.1      Semua pengawas yang telah mengumpul 20 mata demerit akan diberikan amaran keras dan akan di gantung/ dilucutkan jawatan sekiranya tiada sebarang perubahan.
2.2      Pengawas yang melakukan kesalahan disiplin serius seperti merokok dan bergaduh, berhak dilucutkan jawatan oleh pihak Pentadbir Sekolah, Unit Pengawas dan Lembaga Disiplin Sekolah.
2.3      Pengawas yang sudah menerima lebih dari satu surat amaran daripada AJKT Pengawas atau Unit Pengawas, sekiranya terbukti tidak bertanggungjawab serta amanah dalam menjalankan tugasan akan dilucutkan jawatannya.


Fasal 3: Hukuman
3.1      Pengawas yang melakukan kesalahan disiplin akan dikenakan hukuman yang setimpal.
3.2      Pengawas yang didapati bersubahat dengan pelajar-pelajar lain yang melakukan kesalahan disiplin akan menerima hukuman yang berlipat kali ganda berbanding pelajar-pelajar tersebut.
3.3      Pengawas yang telah nyata melakukan kesalahan disiplin serius akan dilucutkan jawatan serta merta.
3.4      Pengawas yang dilucutkan jawatan tidak dibenarkan memakai pakaian pengawas.
3.5      Pengawas yang dilucutkan jawatan juga tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti yang berkaitan dengan pengawas seperti spot check.
  

*******************************************************************************

BAHAGIAN 7: PERSARAAN PENGAWAS

Fasal 1: Tamat Tempoh Tugas

1.1      Secara umum, setiap pengawas akan menamatkan tempoh tugasan mereka seiring dengan tamatnya tempoh persekolahan mereka di HSBM.
1.2      Setiap pengawas akan diberikan sijil penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang menjadi seorang pengawas.
1.3      Sijil Penghargaan daripada Unit Pengawas hanya diberikan kepada pengawas pada akhir tahun persekolahan semasa.
1.4      Nama jawatan yang disandang hanya disebut dalam Sijil Penghargaan bagi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Lembaga Pengawas sahaja.
1.5      Bagi pengawas yang terlibat dengan masalah disiplin yang serius dan telah dilucutkan jawatan, pengawas tersebut tidak layak menerima sebarang sijil daripada Unit Pengawas.
1.6      Bagi pengawas yang telah mengumpul 20 mata demerit ke atas, mereka dibenarkan membuat rayuan dan permohonan daripada Unit Pengawas untuk mendapatkan sijil.
1.7      Guru Pengawas layak menahan pemberian Sijil Penghargaan kepada pengawas sekiranya tidak berpuas hati terhadap mutu kerja dan tahap disiplin pengawas.


Fasal 2: Perletakan Jawatan
3.1      Pengawas Percubaan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Unit Pengawas dibenarkan meletak jawatan atau menarik diri daripada menjadi pengawas.
3.2      Pengawas perlu mengemukakan surat perletakan jawatan rasmi sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum tarikh berkuatkuasa atau dikenakan 10 mata demerit.
3.3      Setiap pengawas yang tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik akan diminta untuk mengemukakan surat perletakan jawatan. Sekiranya pengawas tersebut mempunyai masalah peribadi, pengawas tersebut boleh mengemukakan surat tunjuk sebab supaya tidak diberikan tanggungjawab yang membebankan.
3.4      Sebarang permohonan perletakan jawatan akan dikira diterima sekiranya mendapat maklumbalas surat penerimaan perletakan jawatan daripada Guru Pengawas.
3.5      Guru Pengawas berhak menangguh perletakan jawatan pengawas mengikut keperluan semasa.

Fasal 3: Arahan Pentadbir Sekolah
4.1      Pihak Pentadbir Sekolah berhak melantik atau melucutkan jawatan seseorang pengawas.
4.2      Pengawas boleh membuat rayuan kepada Pengetua/ Guru Kanan HEM/ Guru Disiplin/ Guru Pengawas sekiranya didapati pengawas tersebut terlibat dengan sesuatu kesalahan berat dan layak dilucutkan jawatan.
4.3      Semua keputusan yang telah dibuat oleh pihak sekolah adalah muktamad dan hendaklah dipatuhi.




No comments:

Post a Comment